Home / News / Ops Pedo 2.0: Polis Tumpas Rangkaian Sumbang Online, 31 Individu Ditahan Termasuk Remaja

Ops Pedo 2.0: Polis Tumpas Rangkaian Sumbang Online, 31 Individu Ditahan Termasuk Remaja

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu rangkaian besar penyebaran bahan lucah kanak-kanak dalam talian melalui operasi khas berskala nasional dikenali sebagai Ops Pedo 2.0, dengan 31 individu ditahan dan lebih 880,000 fail digital dirampas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail, berkata operasi bersepadu yang dijalankan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 23 September lalu mendedahkan tahap eksploitasi kanak-kanak dalam ruang siber yang amat membimbangkan.

“Operasi ini menunjukkan komitmen tegas PDRM dalam memerangi jenayah berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak.
Kesalahan seperti ini bukan sahaja mengancam keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, malah menggugat keharmonian masyarakat serta keselamatan negara,” jelas Khalid dalam sidang media di Bukit Aman.

Siasatan Siber dan Pantauan Dark Web

Ops Pedo 2.0 merupakan hasil siasatan siber dan pemantauan jangka panjang di laman gelap oleh Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dengan sokongan strategik daripada MCMC, agensi penguat kuasa antarabangsa, serta maklumat awam.

Operasi selama seminggu itu dilaksanakan antara 22 hingga 30 September 2025, melibatkan 37 lokasi di seluruh negara dengan penyertaan 206 pegawai dan anggota daripada 14 kontinjen polis serta MCMC.

Daripada jumlah itu, 31 suspek berjaya diberkas — terdiri daripada 25 sasaran utama dan enam tangkapan susulan.

“Kesemua yang ditahan adalah lelaki berumur antara 12 hingga 71 tahun, meliputi pelbagai latar belakang termasuk guru, jurutera, pereka grafik, tukang masak, pelajar dan penganggur,” ujar Khalid.

Remaja Antara Yang Ditahan

Enam daripada suspek yang ditahan dikenal pasti sebagai remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun.
Polis membuka 29 kertas siasatan berkaitan aktiviti menjual, membeli, memiliki dan menyebarkan bahan penderaan seksual kanak-kanak serta kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 292 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Daripada jumlah itu, 17 suspek telah didakwa di mahkamah antara 24 September hingga 10 Oktober, manakala 14 lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Sebanyak 15 individu mengaku bersalah dan dikenakan denda antara RM1,000 hingga RM10,000, manakala dua lagi memilih untuk dibicarakan.

Polis turut merampas 82 peranti digital termasuk komputer, telefon pintar dan pemacu storan. Hasil analisis awal menemui lebih 880,000 fail digital mengandungi bahan penderaan seksual kanak-kanak serta pornografi dewasa — peningkatan mendadak berbanding Ops Pedo 1.0 pada Disember 2024 yang hanya menemukan 40,000 fail.

Transaksi RM76,000 Dalam Sembilan Bulan

Menurut Khalid, modus operandi suspek termasuk memuat turun dan mengedarkan bahan lucah kanak-kanak melalui aplikasi Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram, Tumblr, laman gelap (dark web), serta platform storan awan.

“Ada antara mereka bertindak sebagai pentadbir kumpulan Telegram dan menawarkan akses berbayar kepada bahan berkenaan melalui transaksi e-dompet dan kod QR bank seperti AmBank dan Touch ’n Go,” katanya.

Lebih mengejutkan, salah seorang suspek berusia 17 tahun dilaporkan menerima transaksi berjumlah RM76,000 dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini hasil kegiatan terlarang tersebut.

Khalid menegaskan, pihak polis akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama MCMC serta agensi penguat kuasa tempatan dan antarabangsa bagi melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *