KUALA LUMPUR, 26 Okt — Suasana di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi menjadi tumpuan dunia apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tiba di Malaysia dan sempat menari di atas karpet merah.
Kehadiran Trump ke tanah air merupakan sebahagian daripada lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden semula. Beliau disambut dengan persembahan kebudayaan tradisional yang meriah, lengkap dengan paluan kompang dan tarian berwarna-warni daripada penari berpakaian tradisional pelbagai etnik.
Trump, yang mengenakan sut biru gelap dan tali leher merah terang, dilihat spontan mengikut rentak muzik tidak lama selepas menuruni pesawat Air Force One. Gelagat itu mengundang tawa dan tepukan daripada para hadirin termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kelihatan terhibur menyaksikan aksi tersebut.
Dalam suasana penuh mesra, Trump turut menerima Jalur Gemilang daripada seorang rakyat Malaysia dan melambaikannya bersama bendera Amerika Syarikat — simbolik kepada hubungan akrab antara kedua-dua negara.
Lawatan Disambut Protes
Walau bagaimanapun, kunjungan Trump tetap mengundang kritikan hebat daripada pelbagai pihak di Malaysia. Ramai pihak, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, mendesak Anwar membatalkan jemputan Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN, dengan alasan Amerika Syarikat terlibat secara tidak langsung dalam pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
Seawal pagi tadi, satu perhimpunan aman diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, bagi membantah kedatangan Trump.
Anwar sebelum ini memaklumkan bahawa beliau akan menggunakan peluang pertemuan dengan Trump untuk membincangkan isu Gaza selain topik geopolitik dan ekonomi serantau.
Turut hadir menyambut ketibaan Trump ialah Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, serta Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan.
Trump tiba di Sepang sekitar jam 10 pagi selepas penerbangan terus dari Washington, dan sempat beramah mesra kira-kira 15 minit sebelum menaiki “The Beast”, kereta rasmi presiden AS yang terkenal dengan perlindungan kalis peluru.
Pertemuan Dua Hala dan Agenda Serantau
Pada petang ini, Trump dan Anwar dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), lokasi sama bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025.
Malaysia merupakan destinasi pertama dalam rangka lawatan Trump ke Asia, diikuti Jepun dan Korea Selatan. Lawatan ini juga menandakan kunjungan pertama presiden AS ke Malaysia dalam tempoh sedekad, selepas kali terakhir dilakukan oleh Barack Obama pada tahun 2015.
Menurut laporan Bernama, Trump dijangka menyaksikan pemeteraiannya “Perjanjian Kuala Lumpur”, sebuah perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang bertujuan menamatkan pertikaian sempadan yang telah berlarutan selama beberapa dekad.









